Tarian Tradisional Bajau

Tarian Igal Igal Βajau dan Dalling-Dalling Bajau

Tarian ini sangat dipelihara oleh masyarakat Bajau di Selatan Filipina. Kesedaran akan kepentingan memelihara budaya bangsa untuk menjamin kelangsungan budaya bangsa berkenaan telah mendorong masyarakat Bajau di Borneo Utara (Sabah) khususnya di Semporna bangkit dan mengembangkan seni tarian dalling-dalling di kalangan generasi muda. Ini dilakukan dengan membawa dalling-dalling dan Igal Igal ke majlis formal khususnya Regatta Lepa Semporna. Pada tahun 1998, Badan Galak Pusaka telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Sandakan untuk menganjurkan Pertandingan Dalling-dalling Sempena Sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama, Yang Dipertuan Negeri Sabah, yang pada masa itu disandang oleh Tun Sakaran Dandai. Semenjak itu, tarian dalling-dalling turut mula dikenali di daerah Sandakan dan Ѕemporna.[6]

Perkataan dalling-dalling ialah kata ganda "dalling" yang berubah menjadi "dalling-dalling", daripada perkataan Sinamah (bahasa Bajau) yang bermaksud gerakan seluruh badan mengikut rentak tertentu. Tarian ini ialah tarian hiburan di majlis keramaian khususnya majlis perkahwinan. Tarian dalling-dalling diiringi oleh "sangbai" iaitu pantun memuji yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi atau dua penyanyi. Secara tradisionalnya, penyanyi yang menyampaikan nyanyian (disebut kalangan dalam Sinamah) ialah pemuzik. Alat muzik yang digunakan pula dipanggil gabbang. Kadang-kadang pemuzik dibantu oleh seorang penyanyi lain yang lazimnya wanita, terutama apabila atur cara majlis dijangka mengambil masa yang lama yang kadang-kadang mencecah semalaman.

Kajian awal oleh Badan Galak Pusaka mendapati tarian dalling-dalling akan semakin rancak dan menghiburkan apabila ia ditarikan oleh penari secara berpasangan dan kedua-dua penyanyi dalam keadaan 'magbono' kalangan atau berbalas pantun. Dalam keadaan sedemikian, semua watak (penyanyi, pemuzik dan penari) akan menunjukkan kepakaran masing-masing untuk diiktiraf sebagai yang terbaik oleh hadirin.

Tarian Limbai & Runsai (Bajau Samah Kota Belud)

Tarian Limbai merupakan satu tarian traditional suku kaum Bajau Samah Kota Belud. Tarian Limbai biasanya ditarikan ketika majlis perkahwinan semasa menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan.

Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin lelaki naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.

Tarian limbai diiringi oleh irama kulintangan. Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain bebandil. Tarian ini mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin lelaki naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

Selain tarian Limbai, Runsai juga merupakan tarian traditional suku kaum Bajau Samah di Kota Belud. Runsai selalu ditarikan di majlis perkahwinan pada sebelah malam. Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan orang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelaki dan perempuan.